LATAR BELAKANG BOLA KERANJANG

      
         Permainan bola keranjang dicipta oleh seorang jurulatih pendidikan jasmani bernama Dr. James Naismith pada tahun 1891 dan mula dimainkan di bandar Springfield, Massachusettes, Amerika Syarikat. Bakul atau gol ini asalnya merupakan bakul buah-buahan yang dipasang pada ketinggian lebih kurang 3 meter. Pada tahun 1906 gelung besi pula digunakan. Ini diikuti dengan penggunaan papan di belakang keranjang bagi menampan lantunan bola. 
           Bola keranjang diterima sebagai salah satu acara sukan di dalam Sukan Olimpik pada tahun 1936. Pasukan Amerika Syarikat menjuarai acara ini pada setiap Sukan Olimpik kecuali pada tahun 1972 (dikalahkan oleh USSR, dengan 1 mata pada saat akhir) dan 1988 (apabila dikalahkan oleh Rusia pada peringkat separuh akhir). Pada tahun 1980 USA tidak mengambil bahagian di Moscow. Bola keranjang wanita mula dipertandingkan dalam Sukan Olimpik pada tahun 1976. 
           Permainan ini diperkenalkan di negara kita pada tahun 1929 oleh orang Inggeris. Hanya beberapa kelab rekreasi di bandar-bandar utama sahaja menerima permainan baru ini. Perkembangan sukan ini cuma terbukti selepas Perang Dunia Ke-2. Pihak Inggeris memperkenalkan permainan ini di kampung-kampung baru yang dibentuk pada masa darurat. Lama-kelamaan permainan ini diminati ramai, terutama kaum Cina di kampung-kampung baru. 
        Di peringkat sekolah, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia telah menganjurkan Pesta Bola Keranjang Peringkat Kebangsaan yang pertama pada tahun 1967. Penglibatan sekolah di dalam permainan ini kian mendapat perhatian dengan bermulanya Pesta Bola Keranjang MSSM.
Permainan bola keranjang menjadi lebih popular di kalangan murid-murid sekolah dengan adanya bantuan daripada Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Negeri, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah dan pihak sekolah sendiri. 
             Pada tahun 1958 MABA (MALAYAN AMATEUR BASKETBALL ASSOCIATION) ditubuhkan dan pertandingan antara negeri merebut Piala Agung dianjurkan di Kuala Lumpur. Pada tahun 1959, MABA menjadi ahli FIBA ( FEDERATION OF INTERNATIONAL BASKETBALL ASSOCIATION ). Nama Malayan Amateur Basketball Association ditukar ke Malaysian Amateur Basketball Association dan digunapakai mulai tahun 1964. Pada tahun 1968, MABA melancarkan undang-undang Bola Keranjang FIBA dalam Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Melayu.
          Kejohanan Bola Keranjang Mini yang pertama diadakan pada tahun 1970. Pada tahun seterusnya MABA telah mempunyai bangunan 12 tingkat yang dilengkapi asrama, perpustakaan, dewan dan gelanggang untuk tujuan latihan, seminar dan menganjurkan pertandingan yang bertaraf kebangsaan dan antarabangsa.       Kos pembinaan menelan belanja lebih kurang RM 5 juta.
           Pada tahun 1973, Kejohanan Bola Keranjang Bukan Cina dianjurkan di Kuala Lumpur dan MABA sekali lagi menukar nama dari Malaysian Amateur Basketball Association ke Malaysian Basketball Association. Mulai tahun 1991, Kejohanan Bola Keranjang umur 16 tahun dan ke bawah MILO Lum Mun Chak mula dipertandingkan sehingga ke hari ini.

Category:

1 comments:

Y teng said...

Nice sharing on historical background in Basketball :)
I wonder, do you know, is there any special story or reason for Chinese to be actively engage in Basketball compared to other races in Malaysia?
If possible, can you provide some relevant information of basketball of other races for this historical part? Thanks...

Post a Comment